Iklan Nuffnang

23.9.10

Home » , » Patutkah Sekolah Harapan untuk Pelajar Hamil diwujudkan?

Patutkah Sekolah Harapan untuk Pelajar Hamil diwujudkan?

Share
Sekolah Harapan adalah sekolah menengah untuk remaja hamil luar nikah yang terletak di Jasin, Melaka. Sekolah ini berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang terletak di bekas pejabat Syarikat Air Melaka (SAM). Sekolah Harapan tersebut dibiayai oleh kerajaan negeri Melaka dibuka untuk menempatkan mereka yang secara sukarela mahu ke situ.

Sekolah tersebut menggunakan bangunan dua tingkat milik Syarikat Air Melaka di Jasin, yang dibaikpulih untuk dijadikan sekolah harapan. Pada peringkat awal ini, Sekolah Harapan menyediakan empat buah kelas dan mampu menampung antara 20 hingga 30 pelajar. Sekolah ini akan menyediakan sesi pembelajaran pelajar dari tingkatan dua hingga lima termasuk mereka yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mengenai tenaga pengajar, guru-guru JAIM akan ditempatkan ke sekolah tersebut untuk mengendalikan sesi pembelajaran manakala pusat Bimbingan Islam JAIM di Jasin pula akan dijadikan sebagai tempat menginap pelajar sekolah berkenaan. 20 September 2010, Sekolah Harapan telah menerima kumpulan pertama lima pelajar hamil luar nikah, dengan empat daripada mereka akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November dan Disember ini. Pengerusi sekolah itu, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata keempat-empat pelajar terbabit masing-masing berusia 17 tahun, termasuk seorang daripadanya berbangsa Cina itu kini sedang mengandung enam bulan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, "Penubuhan sekolah tersebut dapat membendung gejala pembuangan bayi tidak berdosa, termasuklah di tempat pembuangan sampah." "Kita berniat baik dengan menubuhkan sekolah ini bagi membolehkan remaja yang terlanjur meneruskan persekolahan sehingga mereka bersalin dan tamat edah sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Tapi Sejauhmanakah Keberkesanan Sekolah Harapan ini??

Menurut akhbar Utusan Malaysia, “Sekolah Harapan 'penyelamat' masa depan anak”. Mungkin betul kerana ia dapat memberi peluang dan harapan kepada remaja-remaja yang benar-benar ingin kembali ke pangkal jalan. Tapi sejauh mana keyakinan Ketua Menteri itu bahawa pelajar-pelajar yang sudah bersalin dan pulang ke rumah tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu?

Justeru, Ali Rustam perlu memastikan pengisian Sekolah Harapan itu benar-benar memberi kesedaran dan keinsafan kepada semua pelajar yang terlibat. Sama ada mereka itu pelajar Melayu atau bukan Melayu. Pengisian sekolah Harapan itu bukan setakat kurikulum berbentuk akademik tetapi lebih penting pendidikan agama yang perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan mereka seharian.

Kontra:
Sepatutnya kerajaan Melaka terutama Ali Rustam mencari punca dan berusaha mencari jalan penyelesaian yang membawa hubungan bebas antara pelajar perempuan dengan remaja lelaki," Mengulas senario itu, Adun Bangi (Selangor), Dr Shafie Abu Bakar menegaskan kerajaan Melaka sebenarnya tidak mencari apa punca sebenarnya yang menyebabkan ramai pelajar Melayu mengandung tanpa nikah. Beliau yang juga pembantu exco hal ehwal Islam berkata, kewujudan sekolah Harapan ini seolah-olah menggalakkan berlakunya perbuatan zina dalam kalangan para pelajar.

Jika sekolah ini diteruskan maka semakin banyak pasangan kekasih dalam kalangan remaja tidak teragak-agak untuk melakukan seks luar nikah. Pasangan yang melakukan maksiat ini juga tidak perlu rasa takut jika pasangannya mengandung kerana sudah ada tempat perlindungan untuk mereka.

Pembuangan bayi juga adalah berpunca dari persetubuhan haram. Oleh itu utamakan cara menjauhi zina dengan mengurangkan pergaulan bebas yang boleh menyebabkan gejala sosial dalam kalangan remaja. Cara yang paling efektif ialah kembali kepada ajaran Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Islam bukan sahaja untuk solat sahaja malah merangkumi cara hidup seharian manusia.

Perzinaan di negara ini sudah ditahap kritikal jika dilihat daripada jumlah pendaftaran anak luar nikah sehingga tahun 2009. Melayu 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India 23,696 kes dan Cina 23,692 kes. Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Ini bermakna 83.3 kes anak luar nikah telah lahir setiap hari di Malaysia. Ini membuktikan bahawa perbuatan zina itu dilakukan di merata tempat.

CEGAH ‘AKAR’ BUKAN BANTERAS ‘PUCUK’
Kebanyakkan idea-idea yang dibawa pemikir dan pembesar negara umat Islam kini lebih bersifat membanteras serta mencantas pucuk masalah. Walhal masalah itu sudah berakar sekian lamanya. Memberi keselesaan kepada pesalah zina, bererti kita meredhai perbuatan jenayah perzinaan tersebut. Saya yakin 100%, usaha tersebut bakal menjadi sebuah pembaziran yang nyata. Bahkan gejala tersebut tak akan selesai, mungkin selama-lamanya!

Saya mengerti akan usaha murni mereka dalam menyelesaikan masalah bagi membantu para pesalah jenayah. Dan tidaklah suka-suka saya menempelak usaha murni mereka atau memandang pesimis terhadap usaha mereka. Ya, mahu melakukan usaha murni dipersilakan. Akan tetapi, usaha murni itu seharusnya mengikut nas-nas yang diperuntukkan syara’ dan sama sekali tidak menyalahi syariat Islam. Sesiapa saja, tidak kira pembicara itu seorang tokoh hebat, atau berpangkat Prof. sekalipun jika jalannya bercanggah dengan Islam, maka kita harus menunjukkinya. Jika mereka ingkar, bererti mereka menempah satu jalan kecelakaan yang amat hebat sama ada di dunia mahupun akhirat! Wallahu a'lam...

p/s: Bagaimana pula pendapat anda?? Patutkah Sekolah Harapan ini diwujudkan??

1 comment:

  1. Tidak patut.. sepatutnya fikirkan cara daripada remaja tu ter mengandung.. bknnya apabila dh mengandung baru nak bertindak..

    ReplyDelete